Perundingan Awam: Penambahbaikan Proses FPIC di bawah MTCS

[Klik di sini untuk versi Bahasa Inggeris]

Kepada Orang Awam/ Pihak Berkepentingan Skim Pensijilan Kayu Malaysia (MTCS) 

Majlis Pensijilan Kayu Malaysia (MTCC) berhasrat untuk menambah baik lagi Proses Prinsip Izin, Maklum Awal, Bebas Dan Telus (FPIC) di bawah Skim Pensijilan Kayu Malaysia (MTCS). Objektifnya adalah untuk mengumpul input daripada pihak berkepentingan, termasuk komuniti Orang Asal / Asli, organisasi masyarakat sivil, wakil industri, dan agensi kerajaan, bagi mengukuhkan proses FPIC agar sejajar dengan piawaian antarabangsa dan amalan terbaik.

Melalui perundingan awam ini, butiran responden dikumpul untuk rekod MTCC – yang merupakan bahagian penting dalam mengenal pasti pihak berkepentingan yang berpotensi yang boleh dijemput untuk bengkel yang akan diadakan kemudian pada Januari 2025. Bengkel ini akan menumpukan pada pelukisan yang kukuh, boleh dilaksanakan dan penambahbaikan yang diperlukan untuk dibincangkan dan dimasukkan ke dalam garis panduan yang akan diwujudkan.

Proses FPIC menjadi asas dalam Pengurusan Hutan Mampan (SFM) dengan memastikan hak, aspirasi dan kebimbangan Orang Asal / Asli dan Komuniti Tempatan (IPLC) dihormati dalam pelaksanaan aktiviti operasi perhutanan. Komponen FPIC terutamanya diliputi di bawah 2 Prinsip dalam standard MTCS MC&I SFM iaitu:

Prinsip 2: Hak Pegangan dan Penggunaan serta Tanggungjawab

  • Kriteria 2.2: Komuniti-komuniti tempatan dengan hak perundangan atau hak adat atau hak penggunaan perlu mengekalkan kawalan, ke tahap yang diperlukan untuk melindungi hak-hak mereka atau sumber-sumber, yang merangkumi operasi-operasi perhutanan kecuali mereka memberi persetujuan dengan makluman awal, bebas dan telus kepada agensi-agensi atau pihak-pihak lain.

Prinsip 3: Hak-Hak Orang Asal

  • Kriteria 3.1: Orang Asal hendaklah mengawal pengurusan hutan di atas tanah-tanah dan wilayah-wilayah mereka melainkan mereka mewakilkan pengawalan dengan berasaskan makluman awal, bebas dan telus kepada mana-mana agensi dan/atau pihak.
  • Petunjuk 3.1.2: Pengurusan dan penggunaan tanah serta sumber berkenaan adalah dikawal oleh Orang Asal melainkan mereka mewakilkan kawalan dengan berasaskan makluman awal, bebas dan telus kepada mana-mana agensi dan/atau pihak.
  • Kriteria 3.4: Orang Asal hendaklah diperakui dan diberi pampasan untuk penggunaan pengetahuan tradisi mereka berhubung penggunaan spesies hutan atau sistem pengurusan dalam operasi hutan. Pampasan ini hendaklah dipersetujui secara rasmi dengan persetujuan berasaskan makluman awal, bebas dan telus sebelum operasi-operasi hutan bermula.

Untuk salinan standard penuh, ia boleh diakses di laman web kami:

https://mtcc.com.my/wp-content/uploads/2022/02/MTCS-ST-1002-2021-MCI-PHM-Final-B5.pdf

Walaupun MTCS telah memasukkan FPIC sebagai keperluan, maklum balas menunjukkan bahawa ia terus menghadapi beberapa cabaran dalam rangka kerja Pensijilan Pengurusan Hutan (FMC). Oleh itu, MTCC berharap dapat menyokong pelaksanaan FPIC ini melalui penyediaan satu garis panduan, meningkatkan saluran komunikasi, terutamanya dengan komuniti terpencil dan di pedalaman, meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti dalam mendapatkan persetujuan, mengenal pasti keperluan dan jurang dalam pembinaan kapasiti, kesedaran dalam kalangan pihak berkepentingan dan dalam memantau dan mengesahkan pematuhan dengan keperluan FPIC.

Mengambil kira perkara ini, MTCC ingin memahami dengan lebih dalam isu-isu yang dihadapi berkaitan dengan proses FPIC di bawah MTCS melalui Konsultasi Awam ini. Pihak MTCC juga ingin mendapatkan cadangan penyelesaian bagi isu-isu yang dibangkitkan dan berharap supaya peluang perundingan ini digunakan untuk: 

  • Memahami Halangan: Menekankan cabaran yang dihadapi oleh pihak berkepentingan, terutamanya masyarakat asal / asli dan tempatan, dalam melibatkan diri secara bermakna dalam proses FPIC.
  • Mengumpul Maklum Balas untuk Penyelesaian: Mengumpul cadangan yang berdaya laksana daripada pihak berkepentingan untuk memperhalusi rangka FPIC di bawah MTCS.

Melalui perundingan ini, MTCC juga berharap untuk menyediakan satu garis panduan FPIC bagi MTCS dengan menggabungkan maklumat masa nyata dan fakta di lapangan, pengalaman, pengajaran dan maklum balas daripada amalan-amalan FPIC. 

Oleh itu, maklum balas anda akan membantu kami menambahbaik dan meningkatkan kualiti proses FPIC di bawah MTCS untuk lebih menghormati hak masyarakat asal / asli dan tempatan, sambil meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti. Segala maklumat yang anda berikan akan disimpan secara sulit dan hanya digunakan untuk menambah baik proses FPIC dan tidak akan didedahkan kepada pihak luar.

LANGKAH PENYERTAAN: 

OPSYEN 1: MELALUI ‘GOOGLE FORM’

  1. Akses borang tersebut melalui pautan di bawah:: 

https://forms.gle/8Z6Q1VV7kbz4SqTw5

Sebagai alternatif, akses borang tersebut dengan mengimbas kod QR di bawah: 

OPSYEN 2: MELALUI E-MEL

  1. Muat turun Borang Maklum Balas daripada Laman Web MTCC. Ia boleh diakses melalui pautan ini:  

KLIK UNTUK MUAT TURUN

  • Lengkapkan Borang Maklum Balas dan e-melkannya bersama dengan lampiran yang berkaitan (jika ada) kepada:  

[email protected]

OPTION 3: MELALUI POS 

  1. Muat turun Borang Maklum Balas daripada Laman Web MTCC. Ia boleh diakses melalui pautan ini:  

KLIK UNTUK MUAT TURUN

  • Lengkapkan Borang Maklum Balas dan poskannya bersama dengan lampiran yang berkaitan (jika ada) ke alamat:  

MAJLIS PENSIJILAN KAYU MALAYSIA

C-08-05, BLOK C, MEGAN AVENUE II

NO. 12, JALAN YAP KWAN SENG

50450 KUALA LUMPUR, MALAYSIA.

(Perhatian: Unit Pengurusan Hutan)

Scroll to Top