[Klik untuk versi Bahasa Inggeris]
Kuala Lumpur, 13 Jun 2025 – Majlis Pensijilan Kayu Malaysia (MTCC) dengan sukacitanya memaklumkan bahawa Laporan Dapatan, Syor dan Tindakan daripada Lawatan Lapangan PEFC-MTCC 2025 kini telah diterbitkan secara rasmi oleh Programme for the Endorsement of Forest Certification (PEFC) dan boleh diakses oleh semua pihak berkepentingan serta mana-mana pihak yang berminat.
Laporan ini boleh dimuat turun melalui laman sesawang rasmi PEFC di pautan berikut:
Laporan Dapatan, Syor dan Tindakan – Lawatan Lapangan PEFC-MTCC 2025
Laporan ini diterbitkan bersama artikel berita asal bertarikh 24 Februari 2025, yang memberikan latar belakang dan konteks mengenai lawatan tersebut:
Artikel Berita – Memperkukuh Ketelusan dan Kerjasama dalam Pengurusan Hutan Lestari
Laporan Dapatan, Syor dan Tindakan ini mencerminkan pandangan bersama dan pemerhatian lapangan yang dibuat oleh para pemegang taruh utama semasa lawatan tersebut. Laporan ini mengenal pasti kekuatan sedia ada, menyorot aspek yang boleh ditambah baik, serta mencadangkan langkah-langkah tindakan bagi meningkatkan pelaksanaan amalan Pengurusan Hutan Secara Lestari (SFM) di bawah Skim Pensijilan Kayu Malaysia (MTCS).
Laporan ini merupakan satu pencapaian penting bagi MTCC dan rakan-rakan strategiknya kerana ia:
- Memperkukuhkan prinsip ketelusan, akauntabiliti dan penambahbaikan berterusan dalam pensijilan dan pengurusan hutan.
- Menunjukkan komitmen Malaysia terhadap penglibatan pelbagai pihak berkepentingan serta amalan terbaik global.
- Menyediakan satu rangka kerja yang teratur bagi pembangunan kapasiti, penjajaran dasar, dan mekanisme jaminan yang lebih kukuh di kawasan hutan yang diperakui.
Penemuan dan tindakan susulan yang dirumus dalam laporan ini berperanan sebagai panduan penting untuk memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju global dalam pengeluaran kayu yang disijilkan, sah dan lestari. MTCC beraspirasi untuk terus memastikan amalan pengurusan hutan Malaysia secara mampan, kekal memenuhi amalan terbaik akreditasi pihak ketiga antarabangsa untuk memenuhi jangkaan pasaran antarabangsa, khususnya berkaitan keperluan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
Setakat ini MTCC telah mengambil tindakan proaktif dan sedang giat melaksanakan syor-syor utama daripada laporan tersebut serta meneruskan komitmen mempertingkat MTCS. Perkembangan penting termasuk:
- Proses Prinsip Izin, Maklum Awal, Bebas dan Telus (Free, Prior, Informed Consent (FPIC): Satu rundingan awam telah dijalankan antara Disember 2024 dan Januari 2025 untuk mendapatkan maklum balas penambahbaikkan terhadap FPIC. Analisis maklum balas ini telah selesai, dan MTCC sedang melakukan persiapan untuk menganjurkan satu bengkel bagi membangunkan garis panduan FPIC yang komprehensif untuk MTCS.
- Aduan dan Penyelesaian Pertikaian: Mekanisme aduan dan penyelesaian pertikaian yang baharu dan dipertingkat telah dibangunkan dan kini sedang menjalani proses rundingan awam untuk memastikan keberkesanannya.
- Latihan dan Peningkatan Kapasiti Berterusan: Untuk memperkukuhkan lagi amalan pensijilan dan pengauditan, bengkel latihan dan peningkatan kapasiti akan dianjurkan pada Oktober 2025. Bengkel ini merangkumi isu-isu kritikal berkaitan pensijilan dan pengauditan, serta kemajuan dalam peta dan pemetaan yang relevan dengan pengurusan hutan mampan.
Melalui pelaksanaan syor yang digariskan dalam laporan ini, MTCC berusaha untuk:
- Meningkatkan keyakinan pasaran terhadap produk kayu dan hasil hutan yang diperakui MTCS.
- Memperluas akses ke pasaran hijau dan rantaian bekalan lestari di peringkat global.
- Menyokong kelestarian jangka panjang dan daya saing industri kayu dan eksport Malaysia.
MTCC menggalakkan semua pihak berkepentingan – termasuk pengurus hutan, badan pensijilan, pembuat dasar dan organisasi masyarakat sivil – untuk meneliti laporan ini dan menyertai usaha kolektif ke arah sektor perhutanan yang lebih mampan dan berdaya tahan.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:
Muhammad Hasif Azizan
Majlis Pensijilan Kayu Malaysia (MTCC)
Emel: [email protected]