Semakan Semula Kriteria Dan Petunjuk bagi Pensijilan Pengurusan Hutan Malaysia (Ladang Hutan) [MC&I (Ladang Hutan)]

Kriteria dan Petunjuk bagi Pensijilan Pengurusan Hutan Malaysia (Ladang Hutan) [MC&I(Ladang Hutan)] adalah standard yang digunakan untuk tujuan pensijilan pengurusan hutan di bawah Skim Pensijilan Kayu Malaysia (MTCS) yang dioperasikan oleh MTCC sejak tahun 2009. Sungguh pun tiada permohonan diterima bagi pensijilan di bawah standard ini, penyemakan standard ini adalah selaras dengan amalan antarabangsa di mana standard perlu disemak semula sekurang-kurangnya lima tahun sekali bagi memastikan penambahbaikan yang berterusan.

MTCC ingin mengumumkan bahawa MC&I(Ladang Hutan) akan melalui proses semakan semula yang pertama yang akan dijalankan pada Januari 2013. Semakan semula MC&I(Ladang Hutan) ini akan dijalankan seiring dengan keperluan yang dinyatakan di dalam dokumen MTCS SSP2/2012: Rules on Standard Setting Process for Development of Timber Certification Standards.

Badan utama yang akan menjalankan penyemakan semula MC&I(Ladang Hutan) dan membangunkan standard yang baru adalah Jawatankuasa Penyemakan Standard [Standards Review Committee (SRC)]. Jawatankuasa ini akan berfungsi sebagai “Forum” bagi kumpulan berkepentingan pelbagai (“multi-stakeholder Forum”) dengan ahli-ahlinya terdiri daripada wakil-wakil yang dicalonkan oleh kumpulan berkepentingan masing-masing iaitu kumpulan-kumpulan sosial, alam sekitar, ekonomi dan agensi kerajaan yang berkaitan, dari ketiga-tiga rantau di Malaysia iaitu Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia. Dengan itu, adalah dicadangkan bahawa SRC dianggotai oleh 15 orang ahli. MTCC akan bertindak sebagai Sekretariat untuk SRC.

Adalah dijangkakan bahawa keseluruhan proses semakan semula MC&I(Ladang Hutan) akan mengambil masa selama 18 bulan (dari Januari 2013 hingga Jun 2014) dan akan merangkumi aktiviti-aktiviti berikut:

(i)      meminta komen-komen awam dari kumpulan-kumpulan berkepentingan di peringkat-peringkat tertentu sepanjang tempoh proses semakan semula dengan mengedar/meletakkan MC&I(Ladang Hutan), Draf-draf Pertanyaan dan Draf Akhir ke laman web MTCC;

(ii)      penyusunan dan penggabungan komen-komen dan penyediaan Draf Kerja, Draf Pertanyaan dan Draf Akhir oleh Sektretariat;

(iii)     pertimbangan Draf Kerja, Draf Pertanyaan dan Draf Akhir oleh SRC; dan

(iv)     mengendalikan tiga rundingan peringkat rantau untuk membincang Draf Pertanyaan bersama-sama dengan kumpulan berkepentingan di ketiga-tiga rantau di Malaysia.

Penerangan terperinci proses serta cadangan rangkamasa untuk semakan semula MC&I(Ladang Hutan) adalah seperti di Lampiran I

Pengumuman ini mengenai proses semakan MC&I(Ladang Hutan) telah dimaklumkan secara bertulis kepada semua pihak-pihak berkepentingan yang berkaitan di Malaysia. Kami mengalu-alukan kerjasama yang erat dan penglibatan yang aktif daripada semua kumpulan berkepentingan di dalam proses semakan semula ini. Sekiranya tuan/puan berminat untuk terlibat secara langsung dalam proses pemilihan peserta untuk mewakili pihak-pihak berkepentingan, sila hantarkan kepada Encik Cheah Chi Ern (chi.ern@mtcc.com.my), maklumat perhubungan tuan/puan, organisasi yang diwakili serta hubungkait dalam kumpulan berkepentingan berkenaan iaitu sosial, alam sekitar, ekonomi atau agensi kerajaan yang berkaitan.

Maklumat berkaitan dengan proses dan kemajuan semakan semula MC&I(Ladang Hutan) akan dimuatkan ke dalam laman sesawang MTCC di http://www.mtcc.com.my.